fbpx

Adakah Kita Benar-Benar Perlukan Suplemen ?

capsule, pill, health

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Pernahkah anda didekati para penjual produk suplemen ketika sedang membeli-belah ? Pernahkah anda mendapat mesej melalui telefon bimbit anda yang mengiklankan pelbagai produk suplemen disertai oleh testimoni-testimoni pelanggan mereka ? Atau, pernahkah anda diajak oleh saudara-mara dan kenalan untuk menyertai keahlian produk suplemen tertentu ?

Seperti yang kita lihat, pelbagai produk suplemen telah berada di pasaran pada hari ini di mana kebanyakannya dikatakan mampu meningkatkan tahap imun tubuh, mengurangkan risiko penyakit dan sebagainya. Tidak kurang juga produk-produk yang menampilkan pelbagai testimoni positif daripada para pengguna produk mereka untuk menarik pelanggan baharu. Namun, adakah kita benar-benar memerlukannya ?

Antara contoh suplemen yang wujud pada hari ini adalah suplemen vitamin dan bahan mineral. Vitamin merupakan bahan organik yang diperlukan dalam memastikan fungsi dan pembinaan sel tubuh berjalan dengan lancar. Walaubagaimanapun, sesetengah vitamin tidak disintesis oleh tubuh badan manusia dan memerlukan sumber luar seperti makanan dan juga, suplemen.

Satu perkara yang perlu kita fahami, suplemen pada asalnya dicipta sebagai sumber nutrisi alternatif bagi membantu mencukupkan keperluan nutrisi harian kita. Bukan itu sahaja, suplemen juga boleh didapati dalam pelbagai jenis bentuk seperti pil, serbuk, dan cecair dan ini memudahkan pengambilan suplemen untuk semua lapisan umur.

Tetapi, adakah semua orang memerlukannya ?

Menurut kajian, pengambilan makanan secara seimbang dan mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan sudah cukup untuk menampung keperluan nutrisi harian individu. Oleh itu, tiada sebarang keperluan bagi individu yang sihat untuk mengambil suplemen tambahan. Malah, nutrisi dan vitamin yang diperoleh daripada sumber makanan adalah lebih bermanfaat dan selamat berbanding dengan suplemen. Hal ini kerana makanan mengandungi pelbagai nutrisi yang melengkapi antara satu sama lain berbanding suplemen yang hanya mengandungi satu jenis nutrisi sahaja dalam satu tablet. Sebagai contoh, sebiji epal bukan sahaja mengandungi vitamin C, E, dan K, malah ia juga mengandungi fiber dan mineral seperti kalsium, manakala sebiji tablet vitamin C kebiasaannya tidak mengandungi sebarang vitamin dan komponen lain.

Selain itu, pengambilan suplemen juga boleh menyebabkan pengguna mudah terlebih dos maksima sesuatu vitamin atau mineral. Hal ini kerana satu tablet suplemen kebiasaannya mengandungi dos yang tinggi. Kebanyakan suplemen vitamin C mengandungi 500-1000mg vitamin C dalam satu tablet sedangkan menurut Recommended Nutrient Intakes for Malaysia (RNI 2017), satu individu dewasa hanya memerlukan 70mg vitamin C sehari. Tolerable upper intake atau pengambilan maksimum vitamin C bagi individu dewasa pula adalah 2000mg. Pengambilan vitamin C berlebihan hanya akan dikeluarkan semula daripada badan melalui sistem perkumuhan disebabkan sifat vitamin C yang larut dalam air.

Bagi vitamin yang larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K pula, ia akan disimpan di dalam hati (liver) jika berlebihan dan boleh menyebabkan keracunan toksik dan kerosakan buah pinggang jika berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Jadi, siapakah golongan yang memerlukan suplemen ?

Golongan pertama yang memerlukan suplemen adalah warga emas. Seperti yang kita sedia maklum, usia merupakan salah satu faktor pelbagai penyakit seperti osteoporosis, diabetis dan hipertensi. Fungsi tubuh yang semakin berkurang seiring usia juga menjadikan warga emas lebih sukar bergerak dan kehilangan selera makan lalu menyebabkan mereka kekurangan nutrisi. Contohnya, pergerakan warga emas yang terbatas akan menyukarkan mereka untuk keluar dan mendapatkan vitamin D secara natural daripada cahaya matahari, oleh itu mereka memerlukan suplemen vitamin D bagi menampung kekurangan itu.

Golongan kedua yang memerlukan sokongan suplemen adalah ibu yang mengandung. Secara umumnya ibu yang mengandung juga disarankan untuk mengambil nutrisi sepenuhnya daripada makanan. Namun hal ini mungkin sukar bagi sesetengah ibu yang mengandung, oleh itu mereka memerlukan bantuan suplemen untuk melengkapkan pengambilan nutrisi harian mereka. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa ibu yang mengandung perlu merujuk doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang vitamin dan suplemen bagi mengelakkan kesan buruk pada kandungan.

Golongan ketiga adalah golongan yang mempunyai masalah kesihatan. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti disfagia (kesukaran menelan), GERD dan pelbagai penyakit lain yang akan menyebabkan pengurangan pengambilan makanan harian secara tidak langsung, mereka disarankan untuk mengambil suplemen bagi membantu tubuh mendapatkan nutrisi secukupnya.

Akhir sekali, pengambilan suplemen tidaklah ditegah dan dilarang oleh mana-mana pihak, akan tetapi produk suplemen yang muncul dengan banyak pada hari ini seringkali dipromosikan secara berlebihan sehingga ada yang memutarbelitkan fakta kesihatan demi meningkatkan hasil jualan. Perkara ini adalah melanggar etika dan tidak seharusnya berlaku. Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu bijak dalam memilih suplemen dan tidak membuat keputusan terburu-buru. Perlu diingat, produk suplemen tidak dibenarkan untuk dipromosikan untuk tujuan merawat, memulih dan mengelakkan sebarang penyakit.

Bagi mereka yang ada mengambil ubat-ubatan dan mempunyai penyakit pula, adalah amat disarankan untuk merujuk kepada doktor anda terlebih dahulu sebelum membuat pembelian bagi memastikan suplemen tersebut tidak menjejaskan kesan ubat-ubatan anda. Renung-renungkan, dan selamat beramal !

Rujukan

Is it better to get nutrients from food or supplements? (n.d.). Retrieved December 16, 2020, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/324956

National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN). 2017. Recommended nutrient intakes for Malaysia (RNI) : Ministry of Health Malaysia.

Norliza. (2016, April 06). Produk Suplemen: Vitamin. Retrieved December 17, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/produk-suplemen-vitamin/

Norliza. (2016, July 04). Vitamins and health supplements for pregnant mothers. Retrieved December 17, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/en/vitamins-health-supplements-pregnant-mothers/

More To Explore