Pernahkah anda mendengar tentang penyakit gout ? Menurut statistik, setiap tahun insiden penyakit gout meningkat seluruh dunia terutamanya di kalangan negara membangun. Pada awal penemuan penyakit ini, gout juga dikenali sebagai ‘a rich man’s disease’ atau penyakit orang kaya. Hal ini disebabkan oleh punca gout yang juga datang daripada faktor pemakanan seperti daging, wine dan makanan laut yang dikatakan hanya mampu dimakan oleh orang kaya.
Jadi, apa sebenarnya gout ?
Penyakit gout merupakan salah satu jenis penyakit arthritis yang berpunca daripada pengumpulan asid urik yang gagal dikumuh dengan baik. Secara asasnya, asid urik dihasilkan daripada pemecahan purin iaitu sejenis bahan kimia yang bukan sahaja dihasilkan oleh tubuh badan kita malah turut terkandung dalam bahan makanan. Kadar bahan purin yang tinggi dalam badan akan menghasilkan asid urik yang berlebihan dan ini boleh mengakibatkan pembentukan kristal asid urik jika ia gagal dikeluarkan daripada badan dengan baik. Kristal asid urik inilah yang akan berkumpul di bahagian sendi seperti ibu jari kaki, kepala lutut, dan jari tangan dan menyebabkan keradangan pada sendi tersebut dan inilah yang dipanggil serangan gout.
Penyakit gout juga bukan sahaja berpunca daripada bawaan genetik keluarga, tetapi juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti hiperurisemia (kadar asid urik tinggi), berat badan berlebihan, faktor pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan seperti aspirin dan diuretik. Selain daripada itu, orang lelaki lebih berisiko untuk mendapat serangan gout sejajar dengan pertambahan umur mereka. Walaubagaimanapun, kajian mendapati risiko serangan gout di kalangan perempuan pula mula meningkat setelah menopaus.
Apa yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan risiko serangan gout ?
Di samping mengambil ubat-ubatan, pesakit gout juga perlu mengamalkan diet rendah purin bagi mengurangkan risiko serangan ulangan dan melambatkan kerosakan pada sendi. Antara makanan tinggi purin yang perlu dielakkan adalah :
- Daging merah
- Daging seperti daging lembu, kambing dan khinzir mempunyai kandungan bahan purin yang tinggi
- Makanan laut
- Makanan laut seperti ikan dan makanan bercangkerang juga mengandungi kandungan bahan purin yang tinggi
- Organ dalaman
- Organ dalaman seperti hati, paru dan ginjal juga mengandungi bahan purin yang tinggi
- Alkohol
- Pengambilan alkohol yang berlebihan akan mengganggu proses buah pinggang dalam mengeluarkan asid urik dari badan
- Minuman manis
- Minuman manis mengandungi gula atau fructose yang akan menghasilkan bahan purin apabila diproses di dalam badan.
Walaubagaimanapun, kajian mendapati pengambilan sayur-sayuran tinggi purin seperti bayam dan bunga kubis tidak menyumbang kepada insiden gout manakala pengambilan produk tenusu rendah lemak seperti susu rendah lemak telah terbukti membantu dalam mengurangkan risiko serangan. Pesakit gout juga dinasihatkan untuk meningkatkan pengambilan air yang mencukup dalam sehari (2-3 liter). Bukan itu sahaja, pesakit gout yang mempunyai berat badan berlebihan juga disarankan untuk menurunkan berat badan kepada berat badan ideal bagi mengurangkan risiko serangan gout.
Walaupun diet rendah purin hanya mampu merendahkan serum asid urik sebanyak 15-20% jika dibandingkan dengan rawatan ubat, perlu diketahui bahawa diet ini mampu bertindak sebagai rawatan sokongan kepada ubat-ubatan dalam merendahkan risiko serangan gout. Akhir sekali, adalah amat disarankan untuk pesakit gout merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang rawatan dan ubat-ubatan gout di luar hospital.
Rujukan
Admin. (2017, August 01). Gout. Retrieved December 09, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/en/gout-3/
Norliza. (2019, December 04). Diet bagi Pesakit Gout. Retrieved December 09, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/diet-bagi-pesakit-gout/
Guidelines Committee. (2008) Clinical Practice Guidelines: Management of Gout. Putrajaya: Ministry of Health, Malaysian Society of Rheumatology, Academy of Medicine, Malaysia.
Kuo, C. F., Grainge, M. J., Zhang, W., & Doherty, M. (2015). Global epidemiology of gout: prevalence, incidence and risk factors. Nature reviews rheumatology, 11(11), 649.
Roddy, E., & Doherty, M. (2010). Gout. Epidemiology of gout. Arthritis research & therapy, 12(6), 223.