Hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan salah satu daripada tiga faktor utama penyebab penyakit kardiovaskular. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, dianggarkan lebih kurang 6.4 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi [3]. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan beberapa panduan dalam mengawal tekanan darah tinggi seperti mengurangkan pengambilan garam, meningkatkan aktiviti fizikal dan berdisiplin dalam mengambil ubat-ubatan [1].
Amalan pemakanan yang sihat merupakan satu rawatan yang baik dalam menguruskan bukan sahaja hipertensi, malah pelbagai penyakit lain. Bagi pesakit hipertensi, adalah penting untuk mereka mengawal kadar pengambilan garam dalam makanan mereka [1]. Terdapat pelbagai kaedah yang dapat diamalkan dalam mengawal pengambilan garam seperti membaca label pada bungkusan sebelum makan dan mengurangkan pengambilan sup atau kuah makanan. Pesakit juga dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan “fast food” dan digalakkan untuk menyediakan makanan sendiri di rumah.
Selain itu, aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah. Hal ini kerana berat badan yang berlebihan akan menyebabkan tekanan darah meningkat. Oleh itu, antara cara terbaik dan sihat untuk menurunkan berat badan adalah melalui aktiviti fizikal [4]. Walaubagaimanapun, keadaan kesihatan umum pada hari ini di mana aktiviti di luar rumah adalah kurang digalakkan menyebabkan ramai orang mula meninggalkan aktiviti fizikal mereka satu persatu [5].
Namun sebenarnya terdapat pelbagai jenis aktiviti fizikal yang dapat dilakukan di rumah walaupun semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. World Health Organization (WHO) telah menggariskan beberapa kaedah untuk kekal aktif walaupun ketika perintah kawalan pergerakan dijalankan [7]. Antaranya ialah melakukan aktiviti yang memerlukan kita untuk bergerak aktif seperti bermain dengan anak-anak, bergotong-royong membersihkan kawasan rumah, aktiviti regangan dan bercucuk tanam. Selain daripada itu, orang ramai juga disarankan untuk mengikuti kelas bersenam secara atas talian. Bukan itu sahaja, orang ramai juga dinasihatkan untuk meluangkan masa berjalan sama ada di dalam atau di luar rumah. Elakkan daripada berbaring dan tidur sepanjang hari kerana ini boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan jika diamalkan dalam jangka masa panjang [6,7].
Akhir sekali, pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi disarankan untuk sentiasa memantau tekanan darah ketika di rumah dan berdisiplin dalam mengambil ubat-ubatan yang telah dipreskripsi oleh doktor. Kajian mendapati pesakit yang tidak mengambil ubat-ubatan tepat pada masanya mengikut dos yang telah ditetapkan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular [2]. Oleh itu, adalah sangat penting untuk pesakit berdisiplin dan mengambil ubat mengikut jadual.
Kesimpulannya, walaupun kita berada dalam fasa norma baharu, kita hendaklah sentiasa cakna dengan tahap kesihatan tubuh kita dan berusaha untuk kekal sihat sepanjang hari. Walapun kita sedang berada dalam fasa menentang COVID-19, perlu diingat bahawa kita juga terdedah kepada pelbagai penyakit lain terutamanya jika amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal kita terjejas. Akhir sekali, jangan lupa untuk stay safe, stay healthy !
RUJUKAN
- Admin. (2011, September 19). Tekanan Darah Tinggi. Retrieved November 04, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/tekanan-darah-tinggi/
- Burnier, M., & Egan, B. M. (2019). Adherence in Hypertension. Circulation Research, 124(7), 1124-1140. doi:10.1161/circresaha.118.313220
- Institut Kesihatan Negara (IKN). (2020, May 30). National Health and Morbidity Survey 2019. Retrieved November 04, 2020, from http://www.iku.gov.my/nhms-2019
- Mattioli, A. V., Sciomer, S., Cocchi, C., Maffei, S., & Gallina, S. (2020). Quarantine during COVID-19 outbreak: Changes in diet and physical activity increase the risk of cardiovascular disease. Nutrition, Metabolism and Cardiovascular Diseases, 30(9), 1409-1417. doi:10.1016/j.numecd.2020.05.020
- Nadar, S. K., Tayebjee, M. H., Stowasser, M., & Byrd, J. B. (2020). Managing hypertension during the COVID-19 pandemic. Journal of Human Hypertension, 34(6), 415-417. doi:10.1038/s41371-020-0356-y
- Stay physically active during self-quarantine. (n.d.). Retrieved November 04, 2020, from https://www.euro.who.int/en/health-topics/health-emergencies/coronavirus-covid-19/publications-and-technical-guidance/noncommunicable-diseases/stay-physically-active-during-self-quarantine.
- World Health Organization. (2020). Stay physically active during self-quarantine.