
Pernahkah anda mendengar tentang pedih ulu hati ? Pedih ulu hati atau ‘heart burn’ terjadi apabila ‘sphincter’ iaitu bahagian hujung saluran makanan (esofagus) gagal untuk mencerut saluran tersebut semula dengan sempurna dan menyebabkan kandungan asid dalam perut naik semula ke dalam esofagus. Fenomena ini juga dikenali sebagai refluks asid. Kandungan asid perut ini kemudiannya akan menghakis permukaan saluran esofagus ini dan kecederaan inilah yang menghasilkan apa yang kita panggil sebagai pedih ulu hati [6].
Walaubagaimanapun, refluks asid yang ringan dan jarang berlaku boleh dielakkan dengan cara mengubah pemakanan seperti mengurangkan pengambilan makanan berlemak, makanan pedas dan makanan berasid. Manakala refluks asid yang kerap berlaku melebihi dua kali seminggu menandakan keadaan kritikal dan ini merupakan antara simptom utama Gastroeasophageal Reflux Disease (GERD) [3].
GERD yang tidak dirawat akan mempengaruhi selera makan pesakit sekaligus menyebabkan pesakit kekurangan tenaga dan nutrisi. Oleh disebabkan itu, GERD juga mengganggu kualiti tidur pesakit dan hal ini sekaligus menjejaskan kualiti hidup pesakit.
Antara faktor-faktor terjadinya GERD adalah ;
- Mempunyai berat badan berlebihan
Obesiti viseral atau kegemukan di bahagian abdomen akan memberi tekanan kepada perut yang akan menyebabkan refluks asid kerap berlaku [5,8]
- Merokok
Kandungan rokok seperti nikotin mengendurkan ‘sphincter’ dan memudahkan asid perut untuk naik semula ke dalam esofagus [5].
- Amalan pemakanan yang tidak sekata
Beberapa kajian mendapati orang yang sering meninggalkan sarapan dan mempunyai jadual makan yang tidak menentu juga boleh menyebabkan GERD [8]. Bukan itu sahaja, amalan makan dengan cepat juga boleh menyebabkan refluks asid berlaku.
- Pengambilan makanan seperti makanan pedas, makanan tinggi lemak, kafein dan minuman beralkohol
Makanan seperti ini akan melambatkan proses pengosongan perut dan juga mengendurkan ‘sphincter’ lalu memudahkan laluan untuk refluks asid berlaku [2,6].
- Amalan berbaring atau tidur selepas makan
Amalan seperti ini juga melambatkan proses pengosongan perut [6].
- Kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti
Kajian juga mendapati orang yang tidak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya lebih terdedah kepada risiko ‘heartburn’ kerana tubuh yang letih akan menyebabkan ‘sphincter’ gagal menutupi bukaan antara esofagus dan perut dengan baik [8].
Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mencari kaedah rawatan terbaik dalam merawat dan meredakan simptom GERD dan terdapat beberapa cara rawatan GERD yang berbeza iaitu melalui perubahan gaya hidup seperti amalan pemakanan, melalui ubat-ubatan dan juga sesetengah kes GERD yang kronik memerlukan kepada pembedahan.
Antara beberapa perubahan gaya hidup yang boleh diamalkan untuk mengurangkan dan meredakan simptom GERD adalah :
- Mengurangkan berat badan [1,5].
- Mengamalkan masa makan kepada 4 atau 5 kali sehari dengan pecahan porsi yang kecil dan mengelakkan daripada mengambil makanan dengan banyak [4].
- Mengurangkan pengambilan makanan yang boleh mencetuskan refluks seperti makanan pedas, berminyak, minuman berkarbonat dan kafein [4,6].
- Elakkan daripada makan sebelum waktu tidur dan jarakkan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur [6].
- Kunyah makanan dengan perlahan dan tidak tergesa-gesa menghabiskan makanan.
- Meninggikan sedikit paras kepala dan bahu ketika tidur [5].
- Mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti.
Adalah penting untuk merawat GERD dengan segera kerana GERD yang kronik akan mempengaruhi kualiti hidup pesakit kerana ia boleh menjejaskan pemakanan, waktu rehat dan keadaan mental pesakit. Kaedah rawatan dari semua aspek adalah diperlukan bagi merawat GERD dengan berjaya seperti dari segi rawatan pakar, pemakanan dan juga gaya hidup. Oleh itu, pesakit GERD perlu berusaha untuk mengamalkan tips-tips yang telah dikongsikan di atas untuk masa depan yang lebih sihat. Selamat beramal !
Rujukan
- Badillo, R., & Francis, D. (2014). Diagnosis and treatment of gastroesophageal reflux disease. World journal of gastrointestinal pharmacology and therapeutics, 5(3), 105.
- Bhargava, H. (2020, September 11). GERD: Symptoms, Causes, Treatments, Remedies for Relief. Retrieved November 18, 2020, from https://www.webmd.com/heartburn-gerd/guide/reflux-disease-gerd-1
- Gastroesophageal reflux disease (GERD). (2020, May 22). Retrieved November 18, 2020, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gerd/symptoms-causes/syc-20361940
- Jarosz, M., & Taraszewska, A. (2014). Risk factors for gastroesophageal reflux disease: the role of diet. Przeglad gastroenterologiczny, 9(5), 297.
- Ness-Jensen, E., Hveem, K., El-Serag, H., & Lagergren, J. (2016). Lifestyle intervention in gastroesophageal reflux disease. Clinical gastroenterology and hepatology, 14(2), 175-182.
- Ros. (2017, February 20). Asma dan Refluks. Retrieved November 18, 2020, from http://pendidikanpesakit.myhealth.gov.my/asma-dan-refluks/
- Smith, M. (2020, September 01). What Is Heartburn, and How Long Does It Last? Retrieved November 18, 2020, from https://www.webmd.com/heartburn-gerd/guide/understanding-heartburn-basics
- Yamamichi, N., Mochizuki, S., Asada-Hirayama, I., Mikami-Matsuda, R., Shimamoto, T., Konno-Shimizu, M., … & Kodashima, S. (2012). Lifestyle factors affecting gastroesophageal reflux disease symptoms: a cross-sectional study of healthy 19864 adults using FSSG scores. BMC medicine, 10(1), 45.