Penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari atau serangan jantung berpunca daripada pembuluh darah tersumbat yang menghalang perjalanan darah yang membawa oksigen ke jantung. Keadaan ini dikenali sebagai aterosklerosis dan merupakan penyebab utama serangan jantung terjadi. Apabila pembuluh darah tersumbat melebihi 75 peratus, bekalan oksigen ke jantung akan terputus lalu menyebabkan otot jantung yang terlibat terhenti. Lebih teruk lagi, pembulu darah tersebut juga berisiko untuk pecah dan menghasilkan ketulan darah beku yang akhirnya akan menyebabkan strok sekiranya melibatkan bahagian otak.
Namun adakah anda tahu komponen apa sebenarnya yang terkumpul di pembulu darah tersebut dan menyebabkan situasi ini berlaku ?
Kolesterol adalah sejenis lemak yang diperlukan oleh tubuh badan kita dalam menjalankan beberapa fungsi tubuh seperti penghasilan hormon. Oleh sebab itu, ia bukan sahaja boleh diperoleh melalui pengambilan makanan, kolesterol juga dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh badan kita. Akan tetapi, kolesterol yang berlebihan akan menghasilkan plak yang akan berkumpul di dalam pembuluh darah dan menyebabkan terjadinya aterosklerosis.
Pergerakan kolesterol dalam darah perlu dipandu oleh lipoprotein disebabkan sifatnya yang tidak larut dalam air. Walaubagaimanapun, lipoprotein terbahagi kepada dua iaitu low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL). LDL lebih dikenali sebagai kolesterol jahat disebabkan sifatnya yang cenderung untuk melekat pada dinding pembuluh darah bersama kolesterol yang dibawanya manakala HDL pula dikenali sebagai kolesterol baik kerana sifatnya yang memandu kolesterol keluar dari pembuluh darah dan kembali ke hati.
Oleh itu, apabila seseorang itu dikatakan mempunyai bacaan kolesterol tinggi (melebihi 5.2 mmol/L), ini bermakna tahap kolesterol LDL di dalam tubuhnya lebih tinggi daripada kolesterol HDL dan berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung jika tiada tindakan diambil. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seramai 8 juta orang dewasa Malaysia mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Bukan itu sahaja, 1 daripada 4 rakyat Malaysia tidak tahu bahawa mereka mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Hal ini kerana tahap kolesterol yang tinggi tidak mempunyai simptom dan hanya boleh dikesan melalui ujian darah.
Tahukah anda apa sebenarnya penyebab tahap kolesterol tinggi ? Salah satu daripadanya adalah faktor pemakanan. Beberapa kajian mendapati makanan yang mengandungi kadar lemak tepu (saturated fat) dan lemak trans (trans fat) yang tinggi menyumbang kepada kenaikan tahap kolesterol.
Lemak tepu
Kebiasaannya terkandung dalam produk tenusu, makanan yang berasaskan haiwan seperti daging dan mentega dan juga makanan yang telah diproses. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa lemak tepu yang terkandung dalam makanan yang telah diproses lebih berbahaya berbanding lemak tepu yang terkandung dalam makanan secara semula jadi.
Menurut Panduan Amalan Klinikal : Pengurusan Dislipidemia 2017, pengambilan lemak tepu yang disarankan adalah tidak melebihi 10% daripada pengambilan tenaga sehari. Bukan itu sahaja, beberapa kajian juga mendapati melebihkan makanan yang mengandungi lemak tidak tepu (unsaturated fat) mampu menyumbang kepada kenaikan tahap kolesterol HDL dan menurunkan kolesterol LDL sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Lemak trans
Lemak trans terbahagi kepada dua iaitu lemak trans natural dan lemak trans yang ditambah ke dalam produk makanan melalui proses separa hidrogenasi untuk memanjangkan jangka hayat sesuatu produk makanan seperti minyak masak dan marjerin. Lemak trans juga boleh didapati daripada produk bakeri seperti kek dan biskut, dan juga daripada makanan segera bergoreng.
Hasil dapatan kajian juga konsisten dalam membuktikan bahawa pengambilan lemak trans meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Pengambilan lemak trans mampu meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular secara drastik dan ini dibuktikan oleh kajian yang mendapati dengan hanya 2% kenaikan pengambilan lemak trans sehari, ia mampu untuk meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 25%. Oleh itu, kadar pengambilan lemak trans yang disarankan telah ditetapkan terhad kepada kurang daripada 1% pengambilan tenaga sehari.
Antara cadangan pemakanan yang disyorkan adalah;
- Memilih makanan sumber protein seperti ikan, ayam dan kekacang
- Meningkatkan makanan tinggi fiber seperti sayur-sayuran dan buah-buahan
- Mengurangkan pengambilan makanan ringan, fast-food dan makanan bergoreng.
- Mengutamakan cara masakan seperti rebus, kukus, bakar dan stim berbanding gorengan minyak
- Merujuk kepada label fakta nutrisi produk makanan sebelum membeli

Selain daripada itu, berikut merupakan beberapa tips perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan untuk turut membantu memperbaiki tahap kolesterol :
- Meningkatkan aktiviti fizikal sehari kepada sekurang-kurangnya 30 minit
- Menurunkan berat badan dan mengekalkan berat badan ideal
- Berhenti merokok
Akhir sekali, walaupun penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi kadangkala turut dipengaruhi faktor umur dan juga faktor genetik, ia masih boleh dibaiki dengan cara mengubah gaya hidup kita kepada yang lebih sihat. Oleh itu, janganlah kita berputus asa dan berusaha sebaik mungkin dalam mencapai masa depan yang lebih sihat dan ceria.
Rujukan
- Ceklik, M., Ardahanli, I., & Cengizhan, M. S. (2018). Dyslipidemia and nutrition. Research Journal of food and Nutrition, 2(4).
- De Souza, R. J., Mente, A., Maroleanu, A., Cozma, A. I., Ha, V., Kishibe, T., … & Anand, S. S. (2015). Intake of saturated and trans unsaturated fatty acids and risk of all cause mortality, cardiovascular disease, and type 2 diabetes: systematic review and meta-analysis of observational studies. Bmj, 351, h3978.
- Dottie. (2020, September 25). Penyakit Jantung dan Rendahkan Paras Kolesterol. Retrieved December 03, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/penyakit-jantung-dan-rendahkan-paras-kolesterol/
- Institut Kesihatan Negara (IKN). (2020, May 30). National Health and Morbidity Survey 2019. Retrieved December 04, 2020, from http://www.iku.gov.my/nhms-2019
- Malaysian Ministry of Health Management of Dyslipidemia Guidelines 2017 (5th edition). Retrieved December 04, 2020, from http://www.moh.gov.my/pener-bitan/CPG2017/CPG%20Management%20of%20Dyslipidaemia%202017%20(5th%20Edition).pdf.