Memahami dan Mengatasi Diabetes

Diabetes, juga dikenali sebagai penyakit kencing manis merupakan satu keadaan di mana paras gula dalam darah menjadi lebih tinggi melebihi paras normal. Hal ini terjadi apabila hormon insulin yang dihasilkan oleh pankreas, gagal berfungsi dengan baik. Karbohidrat daripada makanan akan bertukar menjadi glukosa iaitu sejenis gula, dan akan dibawa melalui saluran darah sebelum dipindahkan ke sel-sel tubuh dan organ untuk dijadikan sebagai sumber tenaga [6]. Di sinilah insulin memainkan peranan sebagai pemandu yang membawa gula dalam saluran darah ini dan memindahkannya ke bahagian-bahagian tubuh tersebut.

Walaubagaimanapun bagi pesakit diabetes, insulin yang dihasilkan oleh pankreas adalah sangat sedikit atau tidak dapat berkesan dengan baik. Oleh itu, diabetes terbahagi kepada dua jenis utama iaitu diabetes jenis 1 dan jenis 2. Diabetes jenis 1 berpunca daripada kegagalan pankreas untuk menghasilkan insulin yang mencukupi [3]. Manakala, diabetes jenis 2 pula berpunca daripada insulin yang tidak lagi sensitif dengan keberadaan gula di dalam saluran darah. Oleh itu, kebanyakan penghidap diabetes jenis 1 adalah daripada kalangan kanak-kanak [3].

Kajian mendapati bahawa 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes jenis 2 [2]. Terdapat pelbagai sebab dan punca diabetes jenis 2 terjadi antaranya ialah faktor keturunan, amalan pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, berat badan berlebihan dan juga amalan yang tidak sihat seperti merokok [6,7]. Walaupun faktor keturunan juga merupakan salah satu punca, diabetes jenis 2 berpotensi untuk dirawat dengan cara mengubah cara pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal harian [7]. Adalah diingatkan bahawa penting untuk pesakit diabetes mengubah gaya hidup mereka kerana keadaan paras gula tinggi yang berlarutan akan membawa risiko yang lebih besar seperti penyakit kardiovaskular.

Bagi pesakit diabetes yang mempunyai berat badan berlebihan, kebiasaannya mereka akan dinasihatkan supaya berusaha menurunkan berat badan mereka. Hal ini kerana penurunan berat badan sekurang-kurangnya 5-10% telah terbukti mampu membantu memperbaiki paras gula dalam darah [4]. Antara cara yang terbaik dan sihat untuk menurunkan berat badan adalah melalui amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.

Pengurangan kalori sebanyak 500-1000 kcal dari jumlah pengambilan biasa boleh menyumbang kepada penurunan berat badan sebanyak 0.5-1.0 kg seminggu sekaligus memperbaiki paras gula dalam darah [4]. Antara perubahan dalam pemakanan yang boleh dilakukan ialah :

  • Mengurangkan pengambilan makanan tinggi kalori seperti makanan berminyak dan minuman manis.
  • Meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti bijiran, sayur-sayuran dan buah-buahan [1].
  • Memilih makanan rendah IG (Indeks Glisemik) berbanding makanan tinggi IG [5].
  • Elakkan pengambilan alkohol.

Selain daripada pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal juga memainkan peranan yang besar dalam menjayakan penurunan berat badan. Antara beberapa saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah :

  • Digalakkan untuk mengamalkan senam aerobik dan regangan sekurang-kurangnya 30 minit sehari dalam tempoh 5 hari seminggu [4].
  • Individu yang ‘overweight’ dan ‘obese’ digalakkan untuk meningkatkan masa bersenam ke 60-90 minit sehari secara berperingkat [4].
  • Aktiviti seharian seperti bercucuk tanam, mengemas rumah dan berjalan menaiki tangga juga boleh diamalkan dan mampu menyumbang kepada jumlah aktiviti fizikal dalam sehari [4].

Walaubagaimanapun, kesemua perubahan gaya hidup ke arah yang lebih sihat memerlukan kesungguhan individu berkenaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling. Oleh itu, adalah penting untuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk membantu dan memberi sokongan penuh dalam menjayakan usaha pesakit untuk menurunkan berat badan. Pesakit juga disarankan untuk mendapatkan khidmat pakar dietetik bagi tujuan konsultasi pemakanan, berat badan ideal dan gaya hidup yang sihat.

Kesimpulannya, diabetes jenis 2 masih boleh dielakkan dan dirawat selagi mana pesakit ada keinginan dan kesungguhan untuk berubah. Kita mampu mengubahnya ! Semoga berjaya !

Rujukan

  1. Evert, A. B., Boucher, J. L., Cypress, M., Dunbar, S. A., Franz, M. J., Mayer-Davis, E. J., … & Yancy, W. S. (2014). Nutrition therapy recommendations for the management of adults with diabetes. Diabetes care, 37(Supplement 1), S120-S143.
  2. Institut Kesihatan Negara (IKN). (2020, May 30). National Health and Morbidity Survey 2019. Retrieved November 04, 2020, from http://www.iku.gov.my/nhms-2019
  3. Katsarou, A., Gudbjörnsdottir, S., Rawshani, A., Dabelea, D., Bonifacio, E., Anderson, B. J., … & Lernmark, Ã…. (2017). Type 1 diabetes mellitus. Nature reviews Disease primers, 3(1), 1-17.
  4. Ministry of Health, Malaysia. (2015). Clinical practice guideline on the Management of Type 2 diabetes mellitus. 5th ed.  http://www.moh.gov.my/penerbitan/CPG/CPG%20T2DM%202015. pdf.
  5. Muiz. (2017, April 18). Diabetes Dan Indeks Glisemik. Retrieved November 10, 2020, from http://pendidikanpesakit.myhealth.gov.my/diabetes-dan-indeks-g lisemik/
  6. Yunan, N. (2017, April 18). Kencing Manis. Retrieved November 10, 2020, from http://www.myhealth.gov.my/kencing-manis-2/
  7. Zheng, Y., Ley, S. H., & Hu, F. B. (2018). Global aetiology and epidemiology of type 2 diabetes mellitus and its complications. Nature Reviews Endocrinology, 14(2), 88.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
en_GBEnglish