Sembelit : Fahami kehendak tubuh anda

Kesukaran membuang air besar kadangkala sulit untuk dibincangkan secara terbuka. Namun, insiden ini sebenarnya amat menyukarkan bagi sesetengah orang yang sering mendapat sembelit. Sembelit bukanlah sejenis penyakit tetapi ia terjadi apabila pergerakan najis dalam usus menjadi perlahan. Ini berlaku apabila kandungan air di dalam najis diserap kembali ke dalam tubuh bagi menampung kekurangan air dalam badan. Hal ini akan menghasilkan najis yang keras lalu menyukarkan pergerakan najis dalam usus.

Antara faktor-faktor terjadinya sembelit adalah daripada kesan sampingan daripada penyakit saluran pencernaan bawah (Lower Gastrointestinal Tract), ubat-ubatan, kurang pengambilan air, pemakanan tidak sihat, stress dan sebagainya.

Namun jangan bimbang !

Berikut merupakan beberapa petua yang boleh diamalkan untuk merawat dan juga mencegah masalah sembelit :

  • Meningkatkan pengambilan air sehari (6-8 gelas sehari)

Masalah sembelit terjadi apabila tubuh kekurangan air dan mula menyerap kandungan air daripada sisa makanan dalam usus dan ini akan menghasilkan najis yang keras.

  • Meningkatkan pengambilan makanan sumber serat (fiber) secara berperingkat

Serat membantu mengekalkan kandungan air dalam najis dan ini akan memudahkan pergerakan najis di dalam usus. Walaubagaimanapun, peningkatan makanan berserat perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan masalah kembung dan angin. Contoh makanan berserat adalah sayur-sayuran dan buah-buahan.

  • Melakukan aktiviti senaman atau aktiviti fizikal harian

Kajian mendapati otot yang lemah disebabkan kekurangan pergerakan juga akan memberi kesan kepada otot yang terlibat dalam pergerakan najis, justeru menyulitkan proses pembuangan air besar.

  • Segera ke tandas apabila terasa untuk membuang air

Ini perlu dilakukan bagi melatih tubuh untuk segera merespon kepada ‘nature’s call’ dan mencegah sembelit daripada berlaku lagi.

  • Mendisiplinkan diri untuk tidur pada waktunya

Tidur dan rehat yang mencukupi dapat membantu mengurangkan stress sekaligus mengurangkan risiko sembelit.

Kebiasaannya sembelit dapat pulih dalam masa beberapa hari setelah melakukan petua-petua di atas. Namun begitu, pastikan anda menghubungi atau merujuk doktor jika ;

  • Terdapat darah pada najis
  • Penurunan berat badan mendadak yang tidak disengajakan
  • Sembelit berterusan melebihi dua minggu walaupun setelah mengubah pemakanan dan sebagainya
  • Rasa sakit yang teruk ketika membuang

Masalah sembelit amat menyukarkan dan boleh mengurangkan kadar produktiviti harian seseorang jika tidak dirawat. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan stres, keletihan dan kekurangan selera makan. Oleh itu, pastikan anda minum air secukupnya dan tidak meninggalkan buah-buahan dan sayur-sayuran daripada diet anda ! Mari hidup sihat, Malaysia !

RUJUKAN

Costilla, V. C., & Foxx-Orenstein, A. E. (2014). Constipation: understanding mechanisms and management. Clinics in geriatric medicine, 30(1), 107-115.

Constipation. (2019, June 29). Retrieved December 24, 2020, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/constipation/diagnosis-treatment/drc-20354259

Folden, S. L. (2002). Practice guidelines for the management of constipation in adults. Rehabilitation nursing, 27(5), 169-175.

Khatri, M. (2020, January 25). Water, Constipation, Dehydration, and Other Fluids. Retrieved December 24, 2020, from https://www.webmd.com/digestive-disorders/water-a-fluid-way-to-manage-constipation

UCSF Health. (2020, October 06). Constipation. Retrieved December 24, 2020, from https://www.ucsfhealth.org/education/constipation

Leave a Reply

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}